Berasal dari Bintan seorang anak manusia Megat Seri Rama di berinama Laksamana Bentan gelar di semat mencari keadilan hingga ajal menjemput tiba,,,
Kota Tinggi, Johor. 1699, Lanun
bermaharajalela! Dari arah Sedili Besar hingga ke kepulauan Riau dan
Pulau Penyegat, seluruh perairan Johor di kuasai oleh lanun. Kapal-kapal
perdagangan begitu gusar untuk memasuki pelabuhan Johor kerana bimbang
diserang mereka. Tak kurang juga penduduk-penduduk setempat yang tinggal
disepanjang pantai kawasan tersebut. Sudah berapa lama nelayan bimbang
untuk keluar ke laut. Keadaan terlalu menakutkan...Tapi tidak di Kota
Tinggi. Pusat kerajaan Johor Lama. Terlalu gagah pertahanannya, dibawah
kawalan Bendahara Tun Habib Abdul Majid dan Temenggung. Dan perlindungan
yang begitu rapi ini membuatkan Sultannya yang masih muda berasa sangat
selamat-Sultan Mahmud Syah II.
Pahlawannya
pula sangat berwibawa dan bersedia untuk mengorbankan diri demi
Sultannya pada bila-bila masa. Antaranya Laksamana Megat Seri Rama,
laksamana muda yang datang ke Kota Tinggi dari sebuah wilayah jauh di
selatan Kerajaan Johor, Pulau Bentan Kepulauan Riau. Dan juga kerana tempat asalnya
itu, beliau digelar Laksamana Bentan. Laksamana Bentan mendapat tempat
yang istimewa di mata Sultan Mahmud kerana jasa-jasanya mempertahankan
negeri dari ancaman musuh. Kerana itu Laksamana muda itu begitu cepat
mencapai kedudukannya sekarang. Namun, sudah menjadi adat dalam
masyarakat melayu, kadang-kadang kejayaan seseorang itu, selain dari
memberi kegembiraan dan kebanggaan, turut mengundang hasad dengki kepada
orang lain. Orang itu adalah Tun Bija Ali!
Sudah
terlalu lama Tun Bija Ali berkhidmat kepada Kerajaan Johor, sejak dari
zaman Almarhum ayahanda Sultan Mahmud hinggalah sekarang, masih belum
mendapat perhatian dari Sultan. Tambahan kehadiran Laksamana baru itu,
kini, Baginda Sultan seakan endah tak endah akan dirinya. Hati siapa
tidakkan sakit?
Sakit hatinya
bertambah-tambah lagi apabila Laksamana Bentan itu berjaya memiliki
seorang dara yang juga ingin dimilikinya, Wan Anum. Gadis itu memang
digilainya sejak kali pertama gadis itu menjejakkan kaki ke Kota Tinggi,
setelah kematian ibu dan ayahnya dibunuh lanun di Mersing. Dia
diselamatkan oleh Laksamana Megat Seri Rama dari tangkapan lanun
tersebut sedikit masa dahulu dan dibawa ke Kota Tinggi untuk tinggal
bersama datuk dan neneknya, Pak Mahad di Kota Tinggi. Sejak itu Wan Anum
berkenan dengan Laksamana yang muda itu, dan ternyata, dia tidak
bertepuk sebelah tangan. Dan Laksamana Megat Seri Rama mengambil
keputusan untuk mengambilnya sebagai isteri, memandangkan Wan Anum
seorang yatim piatu dan tambahan pula gadis itu amat luar biasa, lemah
lembut dan cantik pula. Berkahwinlah mereka berdua dan tidak lama lagi
pasangan muda itu bakal menimang cahaya mata. Wan Anum kini sedang
berbadan dua dan hanya selang sebulan dua untuk menimang cahaya mata
sulung.
Namun keadaan tidak selalunya
seperti diharapkan. Harapan Wan Anum untuk bersama suami tercinta
apabila dia melahirkan anaknya nanti tidak kesampaian. Baginda Sultan
telah mengeluarkan perintah yang bahawa Laksamana Megat Seri Rama perlu
mengetuai angkatan tentera Johor menentang lanun sekali lagi. Keadaan
ancaman lanun lebih hebat kali ini dan ini memaksa Laksamana tidak lagi
dapat menangguhkan lagi perintah baginda, walau bagaimana sekalipun
beliau bimbangkan keadaan isteri tercinta. Dan Wan Anum perlu memahami
keadaan tugas suaminya dan itu janji pada dirinya sejak dari hari
pertama dia menerima lamaran Laksamana muda itu. Demi negara, dia rela,
dan ini pun demi keselamatan dirinya juga. Dengan berat hati Wan Anum
melepaskan Laksamana Megat Seri Rama pergi menjalankan tugas dilautan.
Sepeninggalannya, Laksamana Megat Seri Rama mengamanahkan sahabat
baiknya Tun Aman dan kakaknya Tun Khatijah menjaga isterinya Wan Anum.
Namun
seseorang sedang memerhatikan peluang ini sebagai peluang yang amat
menguntungkan. Keadaan Wan anum yang seorang diri tanpa suami disisi,
akan dipergunakan sebaiknya, paling tidak untuk merasai wanita yang dulu
pernah terlepas dari genggaman itu. Pada suatu malam, Tun Bija Ali
menyusup masuk ke rumah Laksamana yang pada waktu itu Wan Anum sedang
keseorangan. Wan Anum yang terperanjat tapi tidak mudah melatah.
sekalipun berbadan dua, dia mencuba sedaya upaya menentang akan
pencerobohan biadap Tun Bija Ali itu. Dan kegagalan itu membuatkan Tun
Bija Ali tidak senang duduk. Bagaimana jika rahsia itu pecah dan sampai
ke pengetahuan Laksamana? Pastinya Laksamana akan mengambil tindakan dan
membunuhnya....jadi sebelum Laksamana bertindak keatasnya, biar dia
bertindak dahulu.
Sudah hampir 2 bulan
Laksamana pergi dan Wan Anum hanya mampu berdoa kepada doa demi
keselamatan suami tercinta. Kandungannya semakin sarat. Tapi ada satu
perkara yang membuatkan dia gelisah. Terlalu sukar hendak mendapatkan
nangka kerana sekarang bukanlah musimnya berbuah, tapi itulah yang amat
diidam-idamkan. Kecur tekaknya apabila mengenangkan ulas nangka yang
manis tapi dimana hendak dicari? Awang, budak khadamnya itu sudah penat
mencari, dari Kampung Bendahara ke Kampung Tembioh, dan seluruh Kampung
Kelantan tempat tinggalnya itu masih tidak berjumpa. Setiap batang pokok
nangka dibelek, usahkan buah, putik pun tiada.
Namun
seakan harapan mula berputik bila terlihat Penghulu sedang mengusung
sesuatu di bahu melintasi rumahnya. Dan ternyata ianya sebiji nangka
yang sedang masak ranum dan luar biasa pula besarnya dalam perjalanan
untuk dipersembahkan kepada Sultan. Wan Anum merayu untuk menjamah
sedikit dari buah tersebut, seulas pun jadilah. Semata-mata untuk
melepaskan rasa mengidam yang meluap-luap. Rasa simpati mencurah lalu
diberikan seulas dari seluruh buah nangka tersebut. Tapi janji dibuat
antara mereka berdua, jangan dibiarkan sesiapa yang lain tahu kelak
badan binasa.
Malangnya Sultan Mahmud
mencurigai akan buah nangka tersebut apabila terlihat akan kesan tebukan
kecil pada kulitnya dan getah yang mengalir. Dan apabila dinyatakan
angkara siapa, lalu Tun Bija Ali yang kebetulan berada bersama Sultan
ketika itu sedar akan peluang ini tidak boleh dilepaskan. Dendam harus
dilunas. Lalu dibisikkan kata hasutan, bahawa tindakan Wan Anum yang
merasai nangka tersebut sebelum baginda ternyata membawa aib dan
ternyata derhaka kepada baginda. Baginda Sultan yang termakan hasutan
ternyata amat murka dan segera menitahkan Wan Anum mengadap. Wan Anum
yang sedar keadaannya dirinya sedang terancam merayu kepada baginda
bahawa tindakannya semata-mata kerana beliau sedang mengidam dan buah
nangka yang dimakannya adalah kerana kehendak anak didalam kandungannya.
Ternyata kata-katanya membawa padah! Sultan Mahmud menitahkan agar
perut Wan Anum dibelah semata-mata untuk membuktikan dakwaannya! Tun
Bija Ali amat gembira menerima titah tersebut, rahsianya akan terus
berkubur, Wan Anum akan menerima padah dan dirinya akan terselamat.
Alangkah
malang dan terseksa nasib Wan Anum, sembah rayu tidak dipandang oleh
baginda....dan Wan Anum akhirnya terkulai, dengan kandungannya yang
terburai. Tapi kuasa Allah Yang Maha Besar. Dakwaan Wan Anum ternyata
benar, apabila terlihat oleh baginda dan Tun Bija Ali, terdapat cebisan
nangka di mulut janin Wan Anum! Namun itu tidak membawa apa-apa kesan
kepada Sultan Mahmud dan Tun Bija Ali, malah diperintahkan seluruh isi
istana merahsiakan apa yang telah berlaku terutamanya dari pengetahuan
Laksamana Megat Seri Rama.
Angkatan
tentera Johor menang besar dengan berjaya mengalahkan lanun dan
Laksamana Megat Seri Rama sudah tidak sabar benar hendak pulang ke Kota
Tinggi untuk bertemu anak isteri yang pada jangkaannya tentu Wan Anum
telah pun melahirkan zuriat mereka. Namun khabar mengatakan Wan Anum
meninggal dunia semasa melahirkan anak mereka meluluhkan jiwa laksamana
tersebut. Terlalu kecewa dan pedih dihatinya. Pada suatu hari, sewaktu
berjalan pulang dari kubur, hujan renyai turun memaksa laksamana itu
mencari tempat perlindungan dan dia singgah berteduh dibawah bumbung
sebuah rumah pekerja istana. terdengar olehnya akan perbualan suami
isteri didalam rumah tersebut mengenai penganiayaan dan dilakukan oleh
Sultan Mahmud keatas Wan Anum. Rasa amarah meluap-luap dan membara,
membakar rasa dendam yang teramat sangat. Tambahan pula, Tun Aman
sahabat baiknya membuka rahsia, yang semua ini angkara dari Tun Bija
Ali! Lalu sebuah pakatan dibuat untuk menyelesaikan kedua binatang
bedebah tersebut.
Tun Bija Ali seorang yang kaki perempuan, walaupun telah beristeri empat tapi masih menggilai perempuan lain, antaranya Tun Khatijah, kekanda Tun Aman. Dan peluang ini digunakan oleh Tun Aman untuk memerangkap Tun Bija Ali dan hasilnya, Tun Bija Ali berkubur ditengah hutan tanpa diketahui sesiapa! Tersenyum puas Laksamana Bentan kerana orang yang menjadi onar telah pun menerima akibatnya namun itu belum cukup...
Pada suatu malam Jumaat, diperasap diasam keris panjang dan keris pendua. Esok, bumi Kota Tinggi bakal menjadi bertuah, dimana ditanahnya akan melimpah darah seorang Raja. Menjelang tengahari, sewaktu penduduk Kota Tinggi berpusu-pusu menuju ke Masjid Besar untuk menunaikan solat Jumaat, hujan renyai panas membasahi bumi. Sultan Mahmud Syah sedang dijulang pengiring-pengiringnya dari atas tandu ke tangga istana. Dan tiba-tiba Laksamana Megat Seri Rama muncul, menghalang laluan baginda. Diatas julangan tersebut, baginda ditikam dirusuk kiri membuat baginda dan orang-orangnya terpana, terkejut dengan apa yang berlaku. Tetapi dalam keadaan nazak, Baginda mencabut keris kerajaan yang tersisip dipinggangnya, lalu dilontar ke kaki Laksamana, lantas memaku Laksamana itu kebumi, sambil melafazkan kalimah
"Jika benar beta Raja berdaulat, beta haramkan sebarang anak Bentan dan seluruh keturunannya memijak bumi Kota Tinggi, jika diingkar beta sumpah muntah darah hingga putuslah nyawa!"
Dan
tak semena-mena, Laksamana yang sedang cuba mencabut keris dikakinya,
memuntahkan darah yang membuak-buak lalu rebah dikaki tangga masjid.
Sementara Sultan Mahmud Syah mangkat diatas julangan pengiringnya. Sejak
dari peristiwa itu baginda yang merupakan keturunan Kesultanan Melaka
yang terakhir, digelar orang Marhum Mangkat Dijulang dan tidak
meninggalkan sebarang pewaris takhta. Manakala diceritakan orang,
sumpahan baginda masih tegar dan keras dibumi Kota Tinggi, Johor.
Jenazah baginda dimakamkan di Kampung Makam dan Laksamana Megat Seri
Rama pula, dikebumikan bersebelahan dengan kubur isteri dan anaknya di
Kampung Kelantan, Kota Tinggi, Johor.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar